PENGANJURAN Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ke-II 2019 mempunyai difinisi tersendiri.

Tidak hanya dilihat sebagai gelanggang terbaik bagi atlet berpotensi dari seluruh pelosok negeri ini mengetengah bakat mereka.

Malah, ia bagaikan perintis awal buat Kementerian Belia Dan Sukan merealisasikan misi kontinjen Sarawak untuk merangkul gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan berlangsung di Johor Baharu.

Itu kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) II Miri 2019 di Stadium Tertutup Miri semalam.

Menurut beliau, sebagai mana diketahui reputasi hebat atlet Sarawak bukan sahaja penampilan dalam beberapa kejohanan berstatus pelbagai peringkat, bahkan mencakupi kejohanan besar bertaraf dunia.

“Ratu terjun negara iaitu Pandelela Rinong sudah membuktikan bahawa anak Sarawak boleh berjaya.

“Oleh yang demikian, atlet muda mahupun juga pelapis yang dikenal pasti bakat mereka pada Suksar II Miri 2019 kelak juga mampu berjaya andaikata mereka sentiasa fokus dan dilatih dengan baik,” ujar beliau.

Terdahulu beliau memberi keyakinan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa menyokong penuh malahan tidak teragak-agak untuk melabur untuk kemudahan sukan di negeri Sarawak.

“Sebelum ini timbul cadangan masyarakat agar menyediakan lebih banyak kemudahan gelanggang sukan di setiap daerah.

“Dan saya menyambut baik cadangan tersebut lantaran bersetuju untuk mpenyediaan stadium di semua daerah mahupun daerah kecil bagi memastikan perlaksanaan atau penganjuran kegiatan sukan dapat dilaksana dengan sempurna,” tambah beliau.

Pendekatan tersebut diharap dapat menjadi daya pengerak untuk melatih atlet Sarawak seterusnya dapat mempertingkatkan prestasi mereka sekali gus maju lebih jauh lagi.

Beliau berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dibawah Kementerian Belia Dan Sukan menerusi perancangan khas akan mengenal pasti tempat untuk mewujudkan padang sukan di negeri ini.

Kata beliau, ia bertujuan bagi memastikan kesesuian bagi menganjurkan pertandingan lebih berprestij diperingkat wilayah.

Hadir sama pada majlis itu semalam, Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia Dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat, Ahli Parlimen P.218 Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia Dan Sukan, Puan Nancy Jolhi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee.

Suksar II Miri 2019 bermula dari 9 hingga 14 Disember dan berlangsung di Miri.

Empat kontinjen bertanding bagi memburu kejuaraan. Pasukan terbabit ialah Zon Utara (Miri, Limbang & Bintulu), Zon Tengah (Sibu, Kapit & Mukah), Zon Barat (Sarikei, Betong & Sri Aman) dan Zon Selatan (Kuching, Samarahan & Serian).

Sejumlah 16 acara sukan dipertandingan sepanjang enam hari kejohanan itu berlangsung.

Sumber : Mingguan Sarawak  Oleh : Faizal Bujang