KENANGAN...Antara sebahagian pemenang merakam gambar selesai majlis penyampaian hadiah.

SIBU: Seramai 30 atlet Muaythai dari kelab sekitar Miri, Bintulu termasuk jemputan dari Kalimantan Barat, Indonesia menyertai Cabaran Muaythai Amatur, Bintulu (BMAC) yang berlangsung di Sapphire Gym Fitness 69 dan Combat Sports Gym, Bintulu, Sarawak baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu, ia turut mendapat sokongan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).

Ia merupakan aktiviti pembuka tirai PMNS bagi tahun 2024 yang mempertandingkan pelbagai kategori bermula dari 28kg hingga 80kg.

Sebanyak tujuh bout perlawanan berlangsung pada awalnya dan menyaksikan penguasaan atlet dari Kelab PS Muaythai yang berpangkalan di Bintulu apabila berjaya memenangi lima perlawanan.

Ia menerusi Brian Issac Rhonald (51-54kg), Elliscyda Cynthia (41-44kg), Mohd Fahrin Jamali (41-44kg), Ting Shee Hoon (61-64kg) dan Azwa Natasha (45-48kg).

Pemenang lain ialah Muhd Zafran Zarif (Top Dog Factory Miri) dan Dylan Casey (D30 Fight Team Miri).

Pada saingan seterusnya, empat lagi wakil Kelab PS Muaythai berjaya muncul juara menerusi Jonnah Barrack (32-33kg), Azwa Natasha (45-48kg), Aryan Ariffin (25-27kg) dan Ting Hong How (74-77kg).

Manakala pemenang lain ialah Emonika (Indonesia), Rivki Wirahadi (Indonesia), William Nelson Foo (Wukiryu Muaythai) dan Omar Kuin (Malaysia).

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Presiden PMNS Jumaat Ibrahim.

Sumber: Suara Sarawak