MIRI: Alexsander Yong Bala menyumbangkan dua pingat emas dalam acara angkat berat tidak melebihi 77 kilogram pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) edisi kedua di sini semalam.

Alexsander, 16, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columba Miri tidak menyangka berjaya menghadiahkan kalungan emas untuk kontinjen Zon Utara.

“Saya berasa amat gembira menyumbang dua emas kerana ia adalah pertama kali saya menyertai SUKSAR pada kali ini,” katanya ditemui Utusan Borneo di sini semalam.

Alexsander berkata, kejayaan itu adalah luar biasa kerana beliau turut bersaing dengan atlet-atlet dari zon lain yang sama hebat.

Ketika ini, Alexsander merupakan satu-satunya atlet yang berjaya menyumbang dua pingat emas untuk kontinjen Zon Utara pada hari kedua kejohanan SUKSAR II setakat jam 1 petang semalam.

Sementara itu, pingat perak milik Austine Layang Gawing (Zon Tengah) manakala gangsa diraih Kelwin Nathaniel Wasli (Zon Barat).

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee.

Sementara itu, atlet kontinjen Zon Selatan kekal mendominasi acara berbasikal apabila berjaya menambah satu lagi pingat emas pada acara kriterium.

Ia mengambil kira keupayaan pasukan tersebut menambah dua emas dan perak pada hari kedua SUKSAR II Miri 2019 di sini semalam.

Raya Othman yang berjaya meraih emas dengan mengumpul 48 mata selepas menamatkan 24 pusingan acara kriterium lelaki.

Diikuti pingat perak menjadi milik rakannya, Muhammad Luqman Daniel Mohammad Roji mengumpul 32 mata juga selepas menamatkan 24 pusingan.

Sementara itu, gangsa diraih Tze Xian Beng mewakili kontinjen Zon Tengah (Sibu, Mukah, Kapit) dengan mengumpul 11 mata untuk 24 pusingan dilaluinya.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian dipamerkan pelumba-pelumba dan yang pasti kami (Zon Selatan) berjaya mengekalkan penguasaan untuk hari kedua kejohanan,” kata pengurus pasukan, Nasre Sahok ketika mengulas kejayaan pasukannya.

Sambil berharap pelumba-pelumba mampu mengekalkan reputasi hebat mereka untuk hari perlumbaan seterusnya membabitkan kategori berbeza.

Menurutnya, pasukan itu akan memberi tumpuan untuk tiga lagi kategori iaitu 500 meter pecut, 1,000 meter dan acara berbukit (XCO-Cross Country Olympic).

“Sebagai mana biasa fokus kita tetap mahu meraih emas dalam setiap acara yang dilangsungkan.

“Malah, saya percaya jika pelumba-pelumba kami tampil dengan prestasi kemuncak mereka, sudah pasti peluang untuk melihat menaiki podium mampu terlaksana,” jelasnya.


Sumber : Utusan Borneo Online  Oleh : Mohamad Norhadie Sahari