KUCHING: Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ke-III 2023 akan berlangsung di Sibu bermula 18 hingga 21 Disember.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan memberitahu, bagaimanapun sukan yang dipertandingkan itu belum dimuktamadkan setakat ini.

Namun, katanya apa yang pasti 20 jenis sukan kini berada dalam radar pihaknya.

"Kita belum memuktamadkan jenis sukan yang dipertandingkan nanti.

"Cuma ketika ini dijangka 20 jenis sukan yang berada dalam radar bagi tujuan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menegaskan, satu mesyuarat bersama pihak kementerian akan diadakan bagi membincang jenis sukan yang akan dipertandingkan nanti.

Dalam pada itu, Awang Putrayusrie turut menyatakan bahawa kejohanan empat hari itu juga akan disertai atlet yang berada dalam senarai panjang bagi pembentukan skuad Sukma XXI 2024.

"Pada dasarnya daripada kejohanan ini kita akan dapat mengenal pasti atlet terbaik.

"Dengan kata lain, ia landasan untuk jurulatih daripada sukan terlibat dengan SUKMA XXI 2024 memuktamadkan senarai pendek barisan atlet masing-masing kelak," tambahnya.

Beliau menegaskan, apabila senarai pendek barisan atlet untuk ke SUKMA XXI 2024 sudah dikenal pasti, akan membolehkan kesemua persatuan sukan terlibat merangka persiapan masing-masing.

 

Sumber: Borneo Online     Oleh: 

Hamkar Sarbinee