Audray (tengah) menyumbangkan pingat emas untuk Zon Barat dalam acara pecut 100 meter di Stadium Miri semalam. |
PELARI muda kelahiran Linga, Sri Aman (Simanggang) – Audray Macshaquille Ak Hilary Jugah, 15 yang mewakili kontinjen Zon Barat (Sarikei, Betong & Sri Aman) mencatat sejarah tersendiri pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) II Miri 2019. Muncul pelari terpantas acara 100 meter dengan catatat masa terbaik 10.91 saat dilakukannya sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan mengatasi catatan masa terdahulu iaitu 11.11 saat. Mengatasi dua pencabarnya, Edward Adau Anak Perit yang mewakili Zon Utara (Miri, Limbang & Bintulu) selaku pemenang pingat perak (10.99 saat) dan Dion Dexter Kedang Anak David Harden dari Zon Barat (Sarikei, Betong & Sri Aman) selaku pemenang pingat gangsa (10.99 saat). “Cukup gembira apabila berjaya mengungguli acara tumpuan (100 meter semalam. Dan saya seakan tidak percaya berjaya memperbaharui rekod kejohanan. “Hadiah yang cukup berharga bagi diri saya serta pasukan Zon Barat (Sarikei, Betong & Sri Aman),” ujar Audray ketika ditemui selepas berakhir acara kegemarannya itu di Stadium Miri petang semalam. Pelajar Sekolah Sukan Malaysia Terengganu itu mengakui betapa fokus dirinya hanya mahu memastikan pingat emas mampu diperolehi semalam. Nyata katanya, misi yang diinginkan terlaksana sudah malah diiringi bonus berganda iaitu memperbaharui rekod kejohanan. Sementara itu, acara 100 meter wanita juga mencuri tumpuan apabila pelari Zon Selatan (Kuching, Samarahan & Serian) Floristhy Laura Anak Paul turut berjaya memperbaharui rekod kejohanan menerusi catatan masa terbaik dilakukannya 12.68 saat. Mengatasi catatat rekod terdahulu 13.10 saat sekali gus memastikan pingat emas miliknya. Sumber : Utusan Sarawak Oleh: Faizal Bujang & Awang Kushairy |