MIRI: Kontinjen Zon Selatan menunjukkan taring dengan mendominasi kolam renang Sukan Sarawak (SUKSAR II) berlangsung Dataran Kipas Miri di sini semalam dengan membolot lima emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Sementara Zon Utara terpaksa akur berada di tempat kedua dengan dua emas, satu perak dan satu gangsa manakala Zon Tengah merangkul satu emas dan dua perak.

Atlet renang Zon Selatan, Kelly Teo Yao mempamerkan prestasi cemerlang dengan meraih tiga emas melalui acara wanita 200m, gaya bebas 200m dan kuak lentang 50m.   

Acara wanita 200m turut menyaksikan dominasi Zon Selatan dengan tempat kedua dimenangi Magdalene Lau (tempat kedua) sambil Natasha Teo Qi di tempat ketiga.

Zon Selatan sekali lagi mendominasi dalam kategori gaya bebas 200m menyaksikan Teo (emas), Natasha (perak) dan Jocelyn Lam (perak).

 Teo dan rakan sepasukannya kembali mendominasi kuak lentang 50m dengan Mandy Teo (perak) dan Natasha (gangsa).

Bagi kategori kuak dada 50m wanita, Kristen Chong dari Zon Utara memenangi emas, manakala Natasha (Zon Selatan) meraih perak dan Magdalene Lau (Zon Selatan) memperolehi gangsa.

Bagi kategori lelaki 200m, Ngu Jiung Rong dari Zon Tengah berjaya memperolehi emas, sambil Hii Puong Jie dari Zon Selatan mendapat perak dan Jotham Lau (Zon Selatan) merangkul gangsa.

Darren Ngui dari Zon Utara memperolehi emas dalam kategori kuak dada 50m manakala Tristan Yeo dari Zon Selatan meraih perak, Jeff Chua (Zon Selatan) memenangi gangsa.

Kategori gaya bebas 200m lelaki menyaksikan Aldriel Wee mengutip satu lagi emas untuk zon Selatan selepas mengalahkan Wong Kai Jin terpaksa akur di tempat kedua (perak) dan Hubert Ho (gangsa), kedua-duanya dari Zon Utara.

Bagi acara kuak lentang 50m, Jeff Chua menyumbang satu lagi emas untuk Zon Selatan, sebelum acara renang melabuhkan tirai semalam sambil Ngu Jiung Rong (Zon Tengah) meraih perak dan Daryl Boon Yang (Zon Selatan) memenangi gangsa.


Sumber : Utusan Borneo Online  Oleh : Norhadie Saharie