Ketua Deligasi Zon Selatan menunjukkan piala pusingan disaksikan Abdul Karim dan tetamu kehormat lain.

MIRI:  Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian)  juara keseluruhan temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) kali kedua di Miri dengan 55 pingat emas, 46 perak dan 31 gangsa.

Sebanyak 24 rekod baharu juga berjaya dihasilkan dari 16 acara dipertandingkan selama lima hari bermula 9 Disember melibatkan 1500 atlet dan pegawai.

Naib johan dimenangi Zon Utara (Miri, Limbang dan Bintulu)  dengan 47 emas, 48 perak dan 39 gangsa.

Tempat ketiga dimenangi  Zon Tengah (Sibu, Kapit dan Mukah) dengan 35 emas, 37 perak dan 33 gangsa sementara tempat keempat Zon Barat (Sarikei, Betong dan Sri Aman) dengan 18 emas, 24 perak dan 30 gangsa.

Tetamu jemputan bersama atlet dari Zon Selatan yang terlibat beraksi selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKSAR.

Atlet memanah dari Zon Utara, Cecil Nathaniel dipilih sebagai Atlet Lelaki Harapan Terbaik  dengan memperolehi empat emas untuk Recurve (Pusingan Kelayakan) Olympic (Pusingan) Recurve (Pasukan Campuran) dan Recurve (Pasukan Lelaki).

Sementara atlet renang Kelly Teo Yao (Zon Selatan) yang memenangi lima pingat emas termasuk dua rekod baharu serta satu gangsa, dipilih sebagai Atlet Wanita Harapan Terbaik.

Kelly mendapat emas untuk acara 200 meter (pecah rekod dengan catatan masa 2.35.44 saat ,  200 meter gaya bebas, 50 meter kuak lentang, 100 meter kuak lentang (pecah rekod dengan catatan masa 1.10.88 saat), 100 meter gaya bebas serta 50 meter gaya bebas (gangsa).

Piala pusingan disampaikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau memberitahu, SUKSAR adalah medan untuk mencari bakat baharu,  melatih dan mempersiapkan atlet untuk bertarung dalam kejohanan peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia (SUKMA)

Sibu dari Zon Tengah akan menjadi tuan rumah untuk edisi ketiga SUKSAR pada 2021.

 

Sumber : Utusan Borneo Online  Oleh: Steve Annuar