TERBAIK: (Baris depan, tiga kiri) Fadzil dan Presiden Rumpun Silat-Silat Sarawak (RSS) Miri, Ismawi Kedri bersama atlet-atlet silat Zon Utara selepas majlis penyampaian pingat petang semalam.


MIRI: Pasukan tuan rumah, Zon Utara (Miri-Limbang-Bintulu) menyumbangkan sembilan pingat emas, dua perak dan satu gangsa menerusi acara silat pada Sukan Sarawak (SUKSAR II) 2019 sekali gus menjadi pasukan terbaik acara terbabit berakhir di sini semalam.

Zon Tengah (Sibu-Kapit-Mukah) di tangga kedua memperolehi tiga emas, lima perak dan empat gangsa diikuti Zon Barat (Sarikei-Sri Aman-Betong) dengan dua emas, tiga perak dan tujuh gangsa sementara di tangga keempat Zon Selatan (Kuching-Serian-Samarahan) membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Jurulatih Silat Zon Utara, Fadzil Jamain berkata SUKSAR menjadi landasan bagi memilih atlet-atlet mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 dan kebanyakan atlet silat diberikan peluang menonjolkan setiap potensi mereka pada acara akhir.

“Kita memberi peluang kepada mereka yang berjaya pada pusingan akhir SUKSAR bagi acara silat untuk ditempatkan dalam pasukan pemilihan SUKMA 2020.

“Kebanyakan mereka berumur antara 15 hingga 19 tahun dan SUKSAR adalah landasan bagi persaingan sulung bagi majoriti mereka,” katanya yang juga Jurulatih Silat SUKMA Sarawak.

Katanya, pasukan Zon Utara memenangi emas adalah yang terbaik namun tetap berbangga dengan potensi atlet-atlet silat dari zon lain turut memberi saingan hebat dengan prestasi rentak cemerlang masing-masing.

Menurut Fadzil, pemilihan atlet-atlet silat bagi SUKMA 2020 dijangka dilaksanakan pada Februari depan.

Acara silat baharu diperkenalkan pada SUKSAR tahun ini menarik 43 peserta dengan 12 atlet dari Zon Utara, Zon Tengah (13), Zon Barat (13) dan lima dari Zon Selatan.

 

Sumber : Utusan Borneo