TAHNIAH: (Dua kiri) Louis, Ahmad, Arrolflynn (kanan) bersama selepas majlis penyampaian pingat kepada pemenang kategori 52kg.

MIRI: Zon Selatan (Kuching-Serian-Samarahan) mendominasi acara tinju apabila membolot enam pingat emas daripada lapan kategori yang dipertandingkan pada acara tinju Sukan Sarawak (SUKSAR II) 2019 dalam perlawanan akhir di sini petang semalam.

Pingat emas terbabit disumbangkan oleh Shahudinfaizman Ahadi (Kategori 49kg), Muhammad Syawal Mohamad Isham (Kategori 56kg), Tinus Moses (Kategori 60kg), Mohammad Jamani Abdullah (Kategori 64kg), Rais Arsyad Sulam (Kategori 75kg) dan Azirul Sariee Misran (Kategori 91kg).

Manakala dua lagi emas diraih oleh peninju tuan rumah, Zon Utara (Miri-Limbang-Bintulu) menerusi Mohd Hyzan Jasni (Kategori 52kg) dan Jerry Hendry (Kategori 69kg). Tempat kedua dan ketiga kategori 49kg masing-masing berpihak kepada Muhammad Naim Tuah (Zon Utara) dan Alfred Austin Rungga (Zon Tengah).

Deggres Joe Braun @ Gerunta (Zon Barat) dan Chris Shiba Cendang (Zon Tengah) menyumbang pingat perak dan gangsa bagi kategori 52kg. Starlin Salleh (Zon Tengah) dan Daniel Priscilla (Zon Utara) menghadiahkan pingat perak dan gangsa untuk kategori 56kg.

Bagi kategori 60kg, tempat kedua dan ketiga dimiliki Albeto Janen Gani (Zon Tengah) dan Rickson Tutom Belin (Zaon Barat).

Alfoneille Amit (Zon Barat) dan Alfred Ghani George Ningkan (Zon Utara) masing-masing menyumbang pingat perak dan gangsa kategori 64kg manakala Roy Engan (Zon Selatan) memenangi pingat perak kategori 69kg.

Sementara kategori 75kg dan 91kg, pingat perak dan gangsa disumbangkan oleh Jeffery Merinding Lasit (Zon Utara) dan Lai Yong Peng (Zon Tengah), Mukhtaruddin Mohammad (Zon Barat) dan Ricky Elong Martin Laing (Zon Tengah).

Majlis penyampaian pingat kepada pemenang disempurnakan oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) merangkap Ketua Sekretariat SUKSAR II Miri, Ahmad Rodzli Hashim.

Hadir sama ialah Pengerusi Pertandingan Tinju SUKSAR II Miri, Arrolflynn Elvis Slie dan wakil Chef De Mission (CDM) Kontinjen Zon Selatan, Louis Andria Barieng.

Acara sukan tinju SUKSAR II dipertandingkan di pekarangan Permaisuri Imperial City Mall bermula 10 Disember lalu dan berakhir petang semalam.


Sumber: Utusan Borneo Online oleh 
Connie Sylvia Mesa