MIRI: Sejumlah empat rekod  Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR)  II berjaya dipadamkan menerusi acara lontar peluru, 1,500 meter, lompat jauh dan baling tukul besi pada acara belapan dan olaharaga hari ini. 

Vannesaryiu Kassim dari Zon Tengah berjaya mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara lontar peluru dengan jarak sejauh 10.92 meter.

Rekod kejohanan bagi acara itu ialah 10.36 meter dan dengan rekod baharu itu,  Vannesaryiu berjaya menambah pingat emas bagi kontinjen Zon Tengah. 

Dalam acara larian 1,500 meter pula, rakan sepasukan dari Zon Tengah, Jetris Foo berjaya memadam rekod kejohanan iaitu 4 minit 40 saat apabila mencatat rekod baharu iaitu 4 minit 26 saat sekali gus meraih pingat emas dalam acara itu. 

Jetris Foo menewaskan Claveron Ronan Ho dari Zon Utara yang mengiringi rapat dengan catatan masa 4 minit 27 saat. 

Dalam acara lompat jauh pula, Jeremiah Udau Dariyus dari Zon Utara turut meleburkan rekod kejohanan dalam acara lompat jauh iaitu 6.66 meter. 

Jeremiah mencipta rekod baharu iaitu 6.86 meter menewaskan rakan sepasukan,  Larry Jangun yang mencatatkan lompatan 6.62 meter sekaligus menghadiahkan emas buat kontinjen Zon Utara. 

Bagi acara tukul besi pula, Sii Hoe Kiong dari Zon Barat turut mencipta rekod baharu dengan jarak lontaran sejauh 44.35 meter mengatasi rekod kejohanan,  42.38 meter. 

Sii Hoe yang disaing hebat rakan sepasukan, Wong Yew In yang telah mencatatkan jarak lontaran sejauh  43.36 juga mengatasi rekod kejohanan. 

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Muda Belia dan Sukan,  Snowdan Lawan.

Dalam pada itu, hujan lebat yang turun sejak jam 11 pagi tidak menggangu perjalanan acara padang dan belapan yang menyingkal tirainya hari ini.

Sementara itu, Zon Selatan terus gah di tangga teratas dengan 16 emas, 16 perak dan 14 gangsa menjadikan keseluruhannya 46 pingat yang berjaya dikutip sehingga jam 11 pagi ini, dalam kejohanan hari ketiga Sukan Sarawak (SUKSAR) II di Miri. 

Manakala Zon Tengah menyaingi rapat dengan 13 emas, tujuh perak dan lima gangsa, menjadikan jumlah kutipan pingat sebanyak 25.

Bekas juara pertama SUKSAR pada 2017, Zon Utara, tampak ketinggalan di tangga ketiga dengan hanya tujuh emas, 14 perak dan 12 gangsa menjadikan keseluruhan kutipan pingat ialah 33. 

Manakala Zon Barat di tangga keempat dengan empat emas, empat perak dan tujuh gangsa menjadikan kutipan mereka sebanyak 15 pingat. 

Bagi kejohanan yang memasuki hari ketiga pada hari ini, sehingga jam 11 pagi, Zon Selatan berjaya menambah pingat untuk menjarakkan kedudukan menerusi acara akuatik (tiga emas, tiga perak, dua gangsa), olahraga (dua emas, satu perak, satu gangsa) dan berbasikal (satu emas). 

Manakala Zon Tengah menambah dua pingat emas dan satu perak dalam acara olahraga serta satu lagi emas dalam acara akuatik di sampling dua perak, satu gangsa dan saru lagi pingat gangsa dalam acara berbasikal. 

Zon Utara pula hanya mampu menyumbang satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa menerusi acara olahraga serta satu lagi gangsa menerusi akuatik. 

Manakala Zon Barat berjaya menambah pingat menerusi acara olahraga dengan dua emas, dua perak, satu gangsa dan acara berbasikal (satu perak). 

 

Sumber : Utusan Borneo Online  Oleh : Clare Cinderella & Mohamad Norhadie Sahari