MIRI: Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk melabur dalam bidang sukan, ke arah menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di negara ini dan rantau ini amnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara pelaburan utama kerajaan ialah membina stadium di daerah-daerah di seluruh negeri termasuk arena atau gelanggang sukan bagi daerah kecil.

Tanpa menyatakan jumlah yang akan dilaburkan itu, beliau berkata beberapa projek pembinaan kompleks sukan yang meliputi stadium dan stadium mini (di daerah) sudahpun dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Pada masa yang sama kita mahu menumpukan kepada pelancongan berasaskan sukan dan untuk itu kita perlu mempunyai sekurang-kurangnya kemudahan sukan yang dapat diterima ramai seperti badminton, tenis dan bola sepak, yang dimasukkan dalam RMK12,” katanya kepada pemberita di sini petang semalam selepas merasmikan Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) Kedua di Stadium Tertutup Miri.

Ditanya mengenai pembinaan trek sukan ekstrem di Sarawak, Abang Johari berkata kerajaan negeri sentiasa merujuk kepada pakar-pakar termasuk di peringkat antarabangsa bagi memastikan trek yang dibina di negeri ini menepati standard dan boleh digunakan untuk kejohanan antarabangsa.

Mengulas lanjut beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan Sarawak juga sudah meninjau velodrom untuk sukan basikal di New Zealand dan akan mengadaptasikan kemudahan tersebut di negeri ini.

“Kita akan mendapatkan model yang betul untuk trek-trek sukan ekstrem ini. Contohnya mereka (atlet sukan basikal) minta kemudahan trek basikal dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pergi ke New Zealand untuk meninjau velodrom negara berkenaan, yang merupakan model terbaik.

“Di New Zealand, populasinya kecil tetapi mereka telah melahirkan ramai juara dunia, kerana mereka memiliki kemudahan sukan yang terbaik seperti velodrom. Ini yang kita mahu ikut dan contohi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Abang Johari berkata penganjuran SUKSAR akan dijadikan sebagai penanda aras bagi menetapkan standard sukan para atlet di negeri ini, sekali gus membangkitkan Sarawak sebagai kuasa sukan di negara ini.

Beliau malah optimis melalui SUKSAR, atlet-atlet negeri ini boleh dibimbing dan dilatih untuk cemerlang dalam Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA, Sukan Komannwel dan seterusnya Sukan Olimpik, kerana ia pernah terbukti melalui pencapaian atlet Sarawak sebelum ini.

“SUKSAR adalah persediaan kita bersaing di peringkat kebangsaan seperti SUKMA di Johor kelak. Mudah-mudahan kita akan menjadi juara SUKMA kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berketa sembilan kompleks sukan yang akan dibangunkan di negeri ini, dijangka akan siap dalam tempoh setahun hingga setahun lebih, sebagai usaha kerajaan menyediakan prasarana sukan di seluruh negeri termasuk luar bandar.

Hadir sama menyaksikan perasmian SUKSAR Kedua di sini semalam ialah Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, ADUN Lambir Ripin Lamat, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak Nancy Jolhi serta 1,500 atlet dan pegawai sukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.


Sumber: Utusan Borneo Online  oleh: Clare Cinderella