MIRI: Kontinjen Sarawak akan mengumumkan jumlah sasaran pingat emas seawal tahun depan bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Johor dari 11 hingga 19 Julai 2020.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata setakat ini keputusan sasaran emas bergantung kepada prestasi cemerlang atlet-atlet yang bertanding pada Sukan Sarawak (SUKSAR II) di sini.

“Kita belum mengumumkan sasaran pingat emas bagi SUKMA Johor dan akan diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah seawal tahun depan,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara renang di sini semalam.

Sebelum ini, Johor telah mengumumkan jumlah sasaran 44 pingat emas serta beberapa negeri lain, bagi kontinjen Sarawak jumlah sasaran pingat ditentukan sebaik berakhirnya SUKSAR II nanti.

Snowdan menarik perhatian bahawa SUKSAR II yang berlangsung di Miri ketika ini penting bagi menentukan hala tuju dan sasaran jumlah kutipan emas bagi kontinjen SUKMA Sarawak di Johor tahun depan.

“Jika ada atlet-atlet menunjukkan prestasi cemerlang pada SUKSAR II sama ada memecahkan rekod atau sebagainya, maka kita akan memasukkannya dalam kem SUKMA Sarawak,” jelasnya.

Dengan kata lain, atlet-atlet yang sudah terpilih sebelum ini tidak boleh mendabik dada kerana kedudukan mereka akan diganti dengan atlet-atlet dari SUKSAR II yang cemerlang.

Snowdan menjelaskan, pihaknya mengadakan tiga kali mesyuarat bersama pengurus pasukan dan menyatakan mesej jelas kepada atlet-atlet yang sudah terpilih ketika ini.

“Meskipun pengurus pasukan mana-mana acara sudah menyenaraikan nama atlet masing-masing, namun ia belum muktamad kerana kita masih membuka peluang kepada atlet-atlet SUKSAR II ini,” katanya.

Sementara itu, kontinjen Sarawak menghantar seramai 837 atlet dan pegawai pada temasya SUKMA Johor dan jumlah itu membabitkan 678 atlet, 57 pengurus pasukan dan 102 pegawai.

Kontinjen Sarawak mengambil bahagian dalam semua 32 acara dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu iaitu 17 sukan wajib dan 15 sukan pilihan.

Antara acara sukan wajib ialah olahraga, hoki, memanah, wushu, akuatik, bola sepak, menembak, karate, gimnastik, tenpin boling, skuasy, pencak silat, berbasikal, boling padang, badminton dan pelayaran.

Manakala sukan pilihan adalah kanu, tinju, ragbi, petanque, bola keranjang, judo, bola jaring, bola tampar, muaythai, sepak takraw, golf, kriket, e-sport, tenis dan angkat berat.

Snowdan turut berpuas hati dengan perjalanan penganjuran SUKSAR II di Miri dan yakin atlet-atlet kali ini mampu bersaing merebut tempat dalam kem SUKMA Sarawak tahun depan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Dr Ong Kong Swee.


Sumber : Utusan Borneo Online  Oleh : Norhadie Sahari